2012-03-05

jangan merajuk sayang 1

assalamualaikum semua....

adoii..berkurun tak berblog.huhu...ok, tak nak cakap banyak..ini adalah buah tangan terbaru saya..try la bace eks..komen sket macam mana...tajuk novel ni xder lagi...tengah fikir-fikir lagi tajuk yang sesuai...

insya Allah, kalau tak ada aral melintang..saya akan cuba update and post new chapter seminggu sekali..hehe..ala-ala macam drama bersiri la kununnye...jgn bosan menunggu yer...

ape-ape pun..harap semua orang enjoy dengan citer nih...


Bab 1


Jemarinya laju menekan butang-butang yang ada. Matanya tak berkalih memandang skrin besar di depan mata. Berkerut-kerut dahi. Sama seperti mulutnya. Makin lama makin laju jari-jemarinya menekan punat yang kecil. Duduknya sudah tak senang. Badan ikut sama bergerak ke kiri dan kanan.

Yes!” Jeritnya diselangi dengan ketawa kuat.

“Tak aci. Mak Ucu main tipu. Tak nak main dengan Mak Ucu.” Si ibu saudara masih lagi dengan ketawanya. Anak saudara yang baru berusia lima tahun sudah mahu menangis. Apa taknya, kalah lawan PS2 dengan ibu saudara yang sudah selayaknya jadi emak orang. Muncung ditarik panjang. Mata sudah berair.

“Mana ada Mak Ucu tipu. Iqbal yang tak pandai main. Ok, kita lawan sekali lagi.” Cabar ibu saudara yang masih tak mahu mengalah. Dengan budak umur lima tahun pun boleh dibuat main.

“Tak nak. Mak Ucu main tipu. Tak nak main. Tak nak main. Nak main dengan Along.” Laju si kecil Iqbal menggeleng kepala bila diajak beradu tenaga lagi. Kakinya ikut sama memprotes. Memang betul-betul serik main dengan ibu saudara begini.

“Ala...Mak Ucu tak puas lagi main. Jomlah Iqbal. Along tengah buat kerja sekolah tu.” Berusaha untuk memujuk. Skrin besar di hadapan sudah bertukar tayangan. Permainan baru sudah sedia untuk bermula. Tunggu pemainnya sahaja.

“Tak nak!” Bentak Iqbal.

“Along!” Jeritnya. Memanggil abang sulungnya untuk menemaninya bermain. Sungguh-sungguh dia tak nak lawan dengan ibu saudaranya.

“Ish Iqbal ni. Tak bestlah. Mak Ucu tak puas lagi ni. Nantilah Along main. Lawan dulu dengan Mak Ucu.” Tangannya sudah bersedia untuk memulakan pertarungan kedua. Si kecil masih berdegil.

“Tak apalah kalau Iqbal tak nak. Mak Ucu main seorang saja.” Butang play ditekan. Belum sempat dia memulakan pertarungan, laungan emaknya memecah gegendang telinga.

“Siti! Apa kau buat kat depan tu. Sudah-sudahlah tu main. Biar budak-budak tu pula yang main. Perangai mengalahkan budak kecil. Mari tolong mak kat dapur ni.” Siti Fatimah pejam mata. Walaupun suara itu jauh nun di sudut dapur, tapi gegendang telinganya macam rasa nak meletup. Tak sempat nak main. Kali ini dia terpaksa mengalah. Takkan nak derhaka dengan mak pula semata-mata nak main PS2.

“Nah, Iqbal mainlah dengan Along. Tapi nanti, Iqbal kena lawan dengan Mak Ucu juga tau.” Si kecil Iqbal sudah meleret senyum. Puas. Ada peluanglah dia nak menang. Along bukan pandai main pun. Asyik mengadap buku saja. Mentang-mentang best student.

Siti Fatimah angkat punggung. Baru terasa kebasnya. Mana taknya, hampir sejam bertapa depan tv semata-mata nak main PS2 dengan budak kecil tu. Malas-malas kaki diatur ke dapur. Dia jenguk ke dapur, ada Kak Teh dan emaknya yang sedang sibuk menyediakan juadah makan tengahari. Ingatkan hujung minggu begini, bolehlah rehat sekejap. Malas betul nak mengadap dapur.

“Apalah yang kau buat dengan budak-budak tu. Umur kau tu dah masuk dua puluh lapan tau Siti. Tapi perangai, masih juga macam budak-budak. Pening kepala mak ni. Bilalah kau nak matang sikit. Dengan budak-budak pun nak gaduh lagi.” Bebel si emak. Tak faham dengan perangai anak bongsunya ini. Dia dulu, umur begini dah ada tiga orang anak. Tapi Siti Fatimah masih belum ada impian nak kahwin. Bila diajak berborak soal jodoh, laju mulutnya tukar topik lain. Hairan betul. Kadang-kadang terfikir juga, entah-entah anaknya ini tak normal.

“Mana ada gaduh. Orang nak main saja. Si Iqbal tu, dah kalah tak nak mengaku. Lepas cakap orang main tipu.” Bakul berisi sayur kobis dibawa ke sinki. Tak mahu kalah.

“Siti tu memang mak. Tak pernah nak mengalah dengan budak-budak tu. Asyik nak menang je. Kadang-kadang tu Kak Teh sampai tak boleh nak beza yang mana satu anak Kak Teh, yang mana satu Mak Ucu dia. Baik kita kahwinkan aje budak bertuah ni mak. Habis cerita. Biar dia bergaduh dengan laki dia. Nak tengok macam mana. Agaknya boleh roboh rumah nanti.” Giliran Kak Tehnya pula membebel. Siti Fatimah buat-buat tak dengar. Tak ada kerja lain. Kerjanya nak kahwinkan aku saja.

“Memang mak cadang nak kahwinkan saja adik kau ni. Kau ada kenal siapa-siapa tak Teh? Kalau ada, bagitahu mak cepat-cepat. Biar mak pergi tanyakan.” Bersungguh emaknya bertanya sambil tangannya ligat menggaul ayam dengan kunyit.

“Ada tu ada mak. Tapi tak tahulah dia berkenan ke tak dengan si Siti ni. Baik orangnya mak. Kerja dekat pejabat agama. Barulah ngam dengan si Siti ni. Kalau buat perangai, biar kena tazkirah dengan ustaz tu.” Jolok Kak Teh. Sengaja dikuatkan suara. Dia tahu adiknya itu mendengar.

“Hah, baguslah tu Teh. Siapa nama orangnya? Esok juga mak pergi tanyakan.” Balas si emak bersungguh.

“MAK! Dengarlah cakap Kak Teh tu. Menipu aje tu.” Siti Fatimah tak tahan. Asyik disogok dengan persoalan jodoh. Berbulu telinga. Ustazlah, cikgulah, keranilah. Hish, bosan! Pandai-pandailah dia cari sendiri nanti.

“Ish apa yang tipunya. Kak Teh cakap betullah. Kalau tak percaya boleh tanya abang Teh. Dia pun kenal dengan ustaz tu. Kalau tak silap Teh, namanya Ustaz Khairul. Orang sini juga mak. Senang.” Makin galak menjolok. Ketawa cuba ditahan. Sesak dada.

“Ustaz Khairul? Sedap nama dia. Mesti orangnya pun baik. Kira bolehlah ya? Siti, apa pendapat kamu?” Sempat si emak mengenyit mata pada Kak Teh. Dia tahu Kak Teh hanya berjenaka. Saja nak kenakan adik yang belum ada tanda-tanda mahu tamatkan zaman dara.

“Tak naklah mak. Dahlah tak kenal batang hidung. Entah-entah nama saja ustaz, tapi perangai mengalahkan mat salih. Tak naklah Siti.” Siti Fatimah membentak. Tak ingin dia kenal dengan ustaz tu. Biar dia cari sendiri. Apa, ingat dia tak laku sangat ke? Kalau nak cerita, sebulan pun tak habis. Berderet tau jejaka-jejaka yang masuk merisik. Tapi nak buat macam mana, hati tak terbuka. Semua dia tolak mentah-mentah.

Yang datang bertanya tu pun bukan calang-calang orang. Sejak dari sekolah menengah hingga ke universiti dan sekarang dah bekerja, rasa-rasanya lebih daripada sepuluh orang kut. Ada yang hensem, bergaya, pelajar terbaik, dan macam-macam lagilah. Tapi bukan itu semua yang dipandang. Dia tak kisah kacak atau tak, yang penting keimanan dan kasih sayang. Entah bilalah dia dapat jumpa lelaki sebegitu.

“Habis tu, yang macam mana lagi kau nak cari? Dicarikan ustaz tak nak, dicarikan cikgu biasa pun tak nak. Takkan nak mak carikan perdana menteri atau anak raja baru kau nak kahwin? Ish, pening betul dengan budak bertuah seorang ni. Kita ni nak tengok dia tu bahagia, ada keluarga sendiri. Mak ni dah tua tau tak Siti. Entah esok lusa dah kena tutup mata. Kau tak kesiankan mak ke?” Dah mula buat ayat sedih pula. Inilah bahagian yang dia paling tak suka.

“Mak ni, selalu cakap macam tu. Ini semuakan keluarga Siti juga. Siti bahagia apa. Yang penting, mak Siti ni muda lagi. Masih cantik jelita. Masih bergetah lagi.” Cuba berlawak tapi dibalas dengan pukulan pedih oleh emaknya. Dicakap betul-betul, main-main pula dia.

“Biarkan saja dia tu mak. Biar dia jadi andalusia.” Balas Kak Teh geram. Bukan dia seorang saja yang geram. Adik beradik lain juga sama. Cuma ayah saja yang tak kata apa-apa. Tapi dia tahu, ayah juga harapkan perkara yang sama.

“Andalusia?” Si emak kerut dahi. Apa tu?

“Anak dara lanjut usia. Biar padan muka dia. Masa tu, baru dia kalut cari kita. Masa tu baru dia nak merayu, mak...Kak Teh, Kak Long, tolonglah carikan jodoh untuk Siti. Siti dah tak tahan hidup seorang.” Siap dengan memek muka. Siti jelir lidah. Meluat betul. Kenapalah semua orang sibuk sangat nak carikan dia jodoh? Bukannya tua sangat pun. Dua puluh lapan tahun. Normallah tu bagi perempuan yang berkerjaya.

“Siti seorang saja anak mak yang belum kahwin. Perempuan pula tu. Kalau lelaki mak tak kisah sangat. Doa mak, biarlah mak tengok Siti ada keluarga dulu sebelum mak dengan ayah tutup mata. Biar ada orang jaga Siti.

“Siti faham mak. Insya Allah, dah sampai jodoh Siti nanti, Siti kahwinlah. Buat masa sekarang, Siti masih boleh hidup sendiri. Lagipun, Siti tak jumpa lagi lelaki yang boleh Siti jadikan suami.” Siapa yang tak nak kahwin. Kalau lelaki itu muncul lapan tahun dulu pun dia sanggup kahwin. Mungkin ada hikmah di sebalik segalanya.

“Bukan tak jumpa, memilih sangat. Entah apa yang dia cari pun tak tahulah. Agaknya tunggu lelaki yang hensem macam Fahrin Ahmad kut mak. Memilih betul.” Serkap Kak Teh. Mulutnya memanglah laju. Tahan sajalah telinga.

“Sibuklah Kak Teh ni. Suka hati oranglah nak cari yang macam mana pun. Cakap orang, dia pun sama juga. Mak tahu, dulu kan, Kak Teh ni pun memilih tau mak.” Giliran dia pula kenakan kakaknya. Kak Teh sudah berhenti mengacau gulai. Menunggu apa yang mahu adiknya bocorkan. Dasar mulut tempayan betullah.

“Dulukan, ada orang nakkan Kak Teh tau mak. Dahlah gemuk, tak hensem pulak tu. Tak sempat lagi budak tu nak buka mulut, terus Kak Teh tolak mentah-mentah. Kesian budak tu, terkulat-kulat tengok Kak Teh lari. Jahatkan Kak Teh mak?” Terbahak-bahak dia ketawa. Kak Teh dah cekak pinggang. Entah dari mana dia dapat cerita begitu. Memang nak kena budak ni.

“Mak percayalah cakap budak tak cukup umur ni mak. Mengarut aje tu. Dia yang tolak si Husin buncit tu mentah-mentah, dia tak nak cerita. Dengan si Mamat botak tu lagilah. Siap Mamat botak bagi bunga lagi.” Siti Fatimah tutup telinga dengan jarinya. Pura-pura tak dengar. Si emak geleng kepala. Ingatkan seorang ini saja anaknya yang berperangai macam budak-budak, yang seorang lagi pun sama juga. Dah anak dua pun masih lagi nak bertekak macam budak-budak. Pening...pening.

“Dah, dah. Teh, dah hangus gulai mak tu. Cepat tutup apinya. Melayan kau orang dua beradik ni, semua kerja tak jadi. Dah, pergi siapkan meja makan. Nanti ayah balik, nak makan. Teh, pergi tengok anak-anak kau tu. Entah apa jadi dengan dia orang tu.” Ayam yang sudah digaul dengan kunyit dimasukkan ke dalam kuali yang sudah panas.

“Tak apa. Biar Mak Ucu dia pergi tengok.” Cepat-cepat Siti Fatimah meletakkan pinggan yang sudah disusun ke atas meja. Bab mengasuh anak-anak saudara, serahkan saja kepada dirinya. Tak jadi masalah langsung. Setakat ini, bukan seorang dua yang sudah diasuhnya. Anak saudara pun dah mencecah dua puluh orang. Hebat tak?

“Hmm...haraplah tu mak. Tak ada maknanya dia nak pergi tengok budak tu aje. Kalau tak bantai main sekali, bukan Mak Ucu namanya. Hai, bilalah adik aku seorang ni nak berubah.” Si emak dah tak tahu nak kata apa. Perangai anak bongsunya itu memang begitu. Bukan baru sekarang, tapi sejak dulu lagi. Periang sangat. Manja pun ya juga.

Dan sebagaimana yang diduga oleh dua orang wanita di dapur, itulah juga yang berlaku. Joystick sudah bertukar tangan. Si adik sudah tarik muncung panjang. Mahu tak mahu terpaksa juga main. Daripada main dengan Along yang langsung tak mencabar, baik main dengan Mak Ucu. Walaupun kebarangkalian untuk menang itu tipis, tapi itu lebih mencabar.

“Dah ready Iqbal? Baiklah, kita mulakan sekarang!” Pandangan seratus-peratus ditalakan ke arah skrin besar di hadapan mata. Terlupa pada sayur dan ayam di dapur.

Sementara itu di dapur, si emak dan kakak masih lagi berbual tentang topik yang sama. Hajah Asmah duduk bertongkat kepala. Memikirkan persoalan yang satu itu selalu buat hatinya diruntun rasa sedih. Tak tahu lagi apa cara yang boleh dilakukan supaya anak bongsunya itu bersetuju untuk berkahwin. Setiap hari, dia tak lupa solat hajat. Mohon Tuhan bukakan pintu hati Siti Fatimah untuk menerima seseorang yang bergelar suami.

“Mak ni bukan apa Teh. Mak kesian tengok adik kamu tu. Kawan-kawan dia yang sebaya dah ada dua tiga anak. Dia masih lagi tak kahwin-kahwin. Tapi mak tengok dia tu rileks saja. Macam tak kisah langsung.” Keluh Hajah Asmah. Dia tak tahu dengan siapa lagi mahu meluahkan perasaannya. Bila berbicara dengan suaminya tentang hal ini, jawapannya cuma tunggu sajalah. Belum sampai jodohnya.

“Teh pun risau juga mak. Masa Teh umur sebaya dengan Siti, rasanya Teh tengah sarat mengandungkan si Iqbal. Sekarang si Iqbal tu pun dah masuk lima tahun.” Dia berkahwin agak awal. Paling awal berbanding dengan adik-beradik yang lain. Waktu umurnya dua puluh dua tahun, dia sudah dipinang orang. Waktu itu, dia tak fikir panjang lagi. Terus terima. Nasib baik pilihannya tak salah. Suaminya memang bertanggungjawab. Habis belajar di universiti, dia terus dapat dua sijil. Satu ijazah, dan satu lagi sijil lahir anak sulungnya.

“Mak tak kisah siapa pilihan dia. Kalau itu yang dia berkenan, mak terima saja. Mak harap biarlah dalam masa terdekat ni. Dah tak larat rasanya mak nak tunggu lama-lama lagi.” Terdengar keluhan keluar dari mulut tuanya. Umurnya dah mencecah enam puluh lima tahun.

“Kita tunggu sajalah mak. Nak paksa sangat pun, nanti tertekan pula dia. Tak pasal-pasal nanti ada yang lari dari rumah.” Gulai yang sudah masak diletakkan ke dalam mangkuk. Sesekali dia melepaskan nafas lelah. Sejak kebelakangan ini, dia memang cepat penat. Maklumlah, kandungannya pun dah masuk lima bulan. Perut pun makin membesar.

“Mak harap sempatlah mak tengok anak adik kamu tu nanti.”

“Insya Allah, mak.” Siti Amirah mengusap lembut bahu emaknya. Dia tahu emaknya begitu mengharap untuk melihat Siti Fatimah mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri.

No comments:

Post a Comment